Mercedes-Benz CLA-Class diperkenalkan dengan rasminya
Sebuah model coupe empat pintu terbaru
keluaran Mercedes-Benz, CLA-Class telah diperkenalkan secara rasmi oleh
pengeluarnya untuk tatapan umum, sebelum membuat kemunculan dunia
di Mercedes-Benz Fashion Week di Berlin (15 ke 18 Januari 2013). Sebelum
itu ia telah membuat penampilan awal di NAIAS 2013 di Detroit hari ini.
Mercedes-Benz CLA-Class dikatakan telah
mewujudkan suatu segmen baru yang mengambil idea reka bentuk daripada
model CLS, dengan dilengkapi ciri standard sistem pemberhentian
berasaskan radar (COLLISION PREVENTION ASSIST) yang mampu memberi amaran
kepada pemandu apabila terdapat halangan dari kadar kelajuan 4 mph.
Buat masa ini tiga jenis sistem janaan
kuasa dibekalkan untuk CLA iaitu dua enjin petrol bagi model CLA 180
(1.6 liter) dan CLA 250 (2.0 liter), masing-masing dengan keluaran kuasa
pada catatan 122hp (200Nm) dan 211hp (350Nm), sementara model CLA 220
CDI dilengkapi enjin diesel dengan kuasa pada bacaan 170hp dan 350Nm
tork maksimum.
Kesemua enjinnya dilengkapi fungsi ECO
start/stop sebagai ciri standard, yang kemudiannya digabungkan dengan
transmisi manual enam kelajuan atau transmisi automatik dwi klac 7G-DCT.
Apa yang menjadi perhatian utama terhadap model CLA ini selain
teknologi canggih yang dibekalkan ialah reka bentuknya yang agak luar
biasa bagi sebuah model bersaiz kompak sepertinya.
Menurut Mercedes-Benz di pasaran Eropah,
tempahan untuk CLA akan bermula pada bulan Mac 2013, sebelum
penghantaran kepada wakil penjual bermula dalam bulan Jun tahun yang
sama. Saksikan foto-foto menarik model terbaru Mercedes-Benz CLA-Class
dalam galeri yang disediakan di bawah.
Galeri Mercedes-Benz CLA-Class





